Pages

Saturday, November 7, 2009

Komputer: Windows 7 dijangka bebas masalah

MICROSOFT mengharapkan tiada masalah akan timbul sebaik sistem operasi baru mereka menerusi Windows 7 diperkenalkan tidak lama lagi.

Ketua Operasi dan Pemasaran Microsoft Malaysia, Yasir Yousuff, berkata sistem operasi baru terbabit dijangka akan lebih proaktif terutama kepada pengguna biasa berbanding perniagaan yang diperbaharui daripada Windows Vista.



"Kami mengakui wujud kegelisahan menjelang pelancaran Windows 7 nanti terutama berkaitan aplikasi yang boleh disesuaikan dengan sistem operasi itu namun saya berharap ia tidak timbul seperti dilalui Vista," kata Yousuff.

Vista sebelum ini menerima kritikan hebat apabila tidak mampu menerima banyak aplikasi yang didapati menerusi Windows XP mengakibatkan ramai pengguna mengekalkan sistem operasi mereka kepada XP.

Yousuff berkata, penggunaan Windows 7 akan bermula di peringkat pengguna sebelum diperluaskan ke industri kecil dan sederhana (SMB) yang menyaksikan beberapa inovasi baru dipamerkan oleh Microsoft.

"Pengguna akan melihat Windows 7 sebagai sistem operasi yang memberikan banyak pilihan untuk disesuaikan dalam kehidupan seperti kesepadanan bagi peranti berasaskan skrin sesentuh dan banyak lagi," jelasnya.

"Microsoft sudah membelanjakan kira-kira RM33.3 bilion untuk R&D tahun ini bagi memberi komitmen kepada pasaran teknologi.

"Ia merangkumi pelaburan sebanyak RM14.7 bilion untuk komputer peribadi (PC), RM25.2 bilion untuk komunikasi, RM7.7 bilion untuk pelayan, RM9.5 untuk prasarana enterpris, RM3.5 bilion untuk telefon, RM5.6 bilion untuk hiburan serta televisyen, RM7.4 untuk carian serta iklan dan selebihnya untuk pembangunan lain," katanya lagi.

No comments: