Pages

Thursday, November 5, 2009

Asri mahu saman

Oleh Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my

BUKIT MERTAJAM: “Tuduhan itu melampau dan mahu menjatuhkan kredibiliti saya pada pandangan masyarakat umum.

“Justeru, saya akan ambil tindakan undang-undang ke atas beliau (Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zain AlGhari) serta Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dalam tempoh terdekat,” kata bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai tindakan pihak berkenaan yang disifatkannya keterlaluan.

Bercakap kepada pemberita ketika memberi penjelasan mengenai isu berkaitan di Institut al-Qayyim di sini, kira-kira jam 10 malam tadi, beliau berkata tindakan Zamihan adalah perbuatan memfitnah dan berniat memalukannya.

“Zamihan berkata, sijil saya palsu tapi bagaimana sebagai bekas mufti boleh memalsukan sijil sedangkan ia perlu untuk tujuan tertentu seperti menyambung pelajaran selain bertugas sebagai pensyarah.

“Sebenarnya saya malu untuk menjawab perkara ini tapi pada masa sama dukacita dengan dakwaan dilemparkannya.

“Peguam saya kini dalam proses menyiapkan draf terakhir dan esok (hari ini), saya akan menelitinya sebelum mengambil tindakan seterusnya,” katanya.

Dr Asri berkata demikian ketika mengulas dakwaan Zamihan dalam laporan sebuah akhbar, semalam bahawa beliau memalsukan kelayakannya dalam bidang syariah peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab/Syariah dari Universiti Jordan.

Zamihan mendakwa, bidang pengkhususan Dr Asri ialah Bahasa Arab dan Sastera kerana Universiti Jordan tidak menawarkan dua pengkhususan dalam satu ijazah.

Bekas mufti itu berkata, tindakan Zamihan mempunyai niat tertentu yang boleh menjejas dan memalukan institusi berkenaan.

Pada sidang media itu, Dr Mohd Asri turut menunjukkan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab/Syariah yang diperolehnya pada 1995.

“Bagaimana saya hendak palsukan ijazah ini dan saya yakin dia hendak beritahu masyarakat supaya tidak percaya dengan saya,” katanya dengan nada kesal.

Mengenai tindakan saman ke atas PGSM, beliau berkata, ia berikutan rentetan memorandum yang dihantar persatuan itu serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada Yang di-Pertuan Agong pada 12 Oktober lalu yang membantah cadangan melantik beliau sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Dr Mohd Asri turut meminta Jakim memohon maaf terhadap tindakan Zamihan dan meminta jabatan itu memberi penjelasan mengenai perkara berkenaan.

No comments: