Pages

Friday, November 20, 2009

Agama: Beri nama elok kepada anak

SOALAN

KEBANYAKAN daripada kita memberikan nama kepada anak dengan maksud yang baik, manakala sesetengah yang lain dengan nama tidak mempunyai apa-apa makna, malah kadangkala membawa erti yang buruk.

Apakah aspek nama itu mempengaruhi diri anak dan kehidupannya? Bolehkah kita memanggilnya dengan panggilan yang kita sukai?

JAMAL,
Pahang.

JAWAPAN
NAMA banyak mempengaruhi peribadi anak apabila membesar. Nama juga menggambarkan apa yang ada dalam naluri seseorang. Panggillah anak dengan nama sebenar kerana dengan nama itulah dia akan dipanggil di hadapan Allah di akhirat kelak.

Rasulullah s.a.w bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ahmad, bermaksud: "Kamu akan diseru pada Hari Kiamat dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka perelokkanlah nama kamu."

Nama memberikan kesan kepada jiwa anak. Nama buruk sehingga menjadi ejekan kepada orang lain perlu dielakkan.

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w dan bertanya: "Apakah hak anakku ini?" Baginda menjawab: "Berilah nama yang baik kepadanya, ajarlah dia akhlak yang baik dan letakkanlah dia di tempat baik."

Al-Mawardi mensyaratkan nama yang baik mesti ada tiga perkara, iaitu nama asas ialah nama orang soleh, hurufnya pendek, senang disebut serta mudah dan sesuai dengan diri terbabit.

No comments: