Pages

Tuesday, November 3, 2009

Agama:Tiada tauliah walaupun ketika jadi mufti – JAIS

SHAH ALAM 2 Nov. – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan tindakannya menahan Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin tengah malam tadi tiada kaitan dengan dakwaan bekas Mufti Perlis itu dipercayai menyokong fahaman Wahabi atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Sebaliknya Pengarah JAIS, Datuk Mohamed Khusrin Munawi menjelaskan, kegiatan Mohd. Asri mengadakan ceramah di Selangor tanpa tauliah JAIS memang telah dipantau sejak tiga tahun lalu iaitu ketika beliau masih memegang jawatan mufti.

Menurutnya, JAIS menerima banyak aduan tentang ceramah-ceramah agama yang diadakan oleh Mohd. Asri yang menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat termasuk penduduk di Taman Sri Ukay.

‘‘Kita ambil tindakan sebab berceramah tanpa tauliah. Kalau masuk ke Selangor sepatutnya (Mohd. Asri) menghormati Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS.

‘‘Kita telah tulis surat kepadanya semasa beliau jadi mufti lagi, tetapi beliau tidak pernah memohon tauliah untuk berceramah agama. Tiada siapa terkecuali daripada undang-undang.

‘‘Kita menerima banyak aduan tentang kegiatan beliau sejak beberapa tahun lalu dan kita memang beberapa kali telah cuba ambil tindakan, cuma pada kali ini berjaya melaksanakan tindakan yang dirancang sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di bangunan JAIS di sini hari ini.

Mohd. Asri telah ditahan ketika memberi ceramah agama di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Klang malam tadi.

Ketika itu kira-kira 200 orang sedang mendengar ceramah tersebut termasuk Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib.

Mohamed Khusrin berkata, mereka yang memberi ceramah agama sepatutnya menghormati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai ketua agama Islam di negeri ini dengan mematuhi peraturan JAIS.

Menurutnya, JAIS sedang menyiapkan kertas siasatan untuk mendakwa Mohd. Asri mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.

‘‘Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 adalah melakukan sesuatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Katanya, undang-undang berkaitan diperkukuhkan lagi dengan wujudnya Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Beliau juga berkata, Mohd. Asri belum lagi didakwa sebaliknya beliau dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pagi ini bagi membolehkan JAIS melanjutkan tempoh jaminan bon ke atasnya.

Menurutnya, JAIS perlu berbuat demikian kerana siasatan terhadap kes tersebut tidak dapat disiapkan dalam tempoh 24 jam untuk didakwa di mahkamah.

No comments: