Pages

Sunday, November 15, 2009

Mahathir: Perjanjian beli air tamat 2011

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Perjanjian pertama pembelian air oleh Singapura akan tamat pada 2011, namun adakah Malaysia bersedia untuk memikirkan semula perkara baru berkaitan perjanjian itu?

Itu adalah persoalan yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai perjanjian pembelian air daripada Singapura yang masih kekal pada harga 3 sen bagi 1,000 gelen sejak 1961 itu.

"Tahun 2011 tidak lama saja lagi. Tetapi pernahkah kita terfikir untuk melanjutkan perjanjian pertama itu atau tidak menyambungnya ataupun mahu berunding untuk perjanjian yang baru?

"Apakah yang akan kita buat? Saya rasa selain air terawat melalui kaedah NEWater, Singapura tentu masih perlukan 350 juta gelen air sehari," katanya di dalam blog http://chedet.co.cc.

Di bawah perjanjian pertama pembelian air yang akan tamat pada 2011, Malaysia membekalkan 350 juta gelen air mentah kepada Singapura setiap hari pada harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air.

Sementara itu, bagi perjanjian kedua yang akan tamat pada 2060, Malaysia membekalkan sebanyak 250 juta gelen air sehari dengan harga sama.

Malaysia membeli balik 37 juta gelen air yang sudah dirawat pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Bagaimanapun pada 2002, Singapura membuat keputusan untuk tidak lagi menyambung perjanjian pertama itu kerana berpendapat ia mempunyai kemampuan untuk membekalkan 100 juta gelen air sehari kepada rakyatnya menggunakan teknik pembersihan moden menerusi kaedah NEWater dan penyulingan air laut.

Dr. Mahathir berkata, walaupun Singapura memutuskan tidak mahu menyambung perjanjian pertama yang dipersetujui pada 1961, negara itu masih memerlukan jumlah air mentah sebanyak 350 juta gelen sehari itu.

Beliau berkata, jumlah bekalan air sebanyak 250 juta gelen sudah tentu tidak akan mencukupi bagi Singapura untuk bertahan sehingga tahun 2060 memandangkan jumlah rakyatnya semakin meningkat.

"Jadi jumlah air yang dibekalkan mengikut perjanjian pertama sudah tentu lebih penting daripada dengan usaha menggunakan air terawat dan penyulingan air laut sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak lagi menimbulkan isu-isu berbangkit dengan Singapura termasuk penjualan air mentah selepas pembatalan pembinaan jambatan bengkok dilihat memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Katanya, sikap tersebut yang dilakukan kerana tidak mahu mewujudkan sebarang pertelingkahan di antara kedua-dua negara adalah cara yang baik untuk mencari kawan.

"Tetapi apakah kesan yang yang perlu ditanggung rakyat Malaysia selepas itu.

"Adakah kita masih mahu membuat kebajikan dengan menjual dan terus menjual air mentah pada harga 3 sen untuk 1,000 gelen kepada jiran kita yang kaya itu?" soalnya.

No comments: