Pages

Sunday, April 25, 2010

Soalan Agama: Muzik dan lagu

Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri jawab

Soalan

APAKAH hukum bermain gitar dan peralatan muzik lain? Setahu saya, ia haram jika tujuan alat itu digunakan di tempat maksiat dan melalaikan manusia.

HASSAN,
Selangor.

Jawapan

TERDAPAT hadis Nabi yang melarang penggunaan alatan muzik tertentu termasuk gitar dan alat ditiup seperti serunai. Ada ulama yang mengharamkan penggunaannya.

Sesetengah ulama mengkaji sebab atau 'ilah' di sebalik larangan berkenaan jika alat berkenaan digunakan pada majlis maksiat dan yang menggunakannya pula terdiri daripada orang fasik, pelaku maksiat serta peminum arak.

Sebab itu, ia dilarang, tetapi apabila ia tidak membabitkan perkara maksiat, maka ia diharuskan. Syariah Islam tentunya mempunyai sebab melarang penggunaan alat muzik seperti di atas.

Pertama, Islam lebih mementingkan perkara berfaedah daripada hiburan semata-mata. Kedua, alat berkenaan lebih cenderung melakukan pembaziran masa selain melalaikan manusia daripada mengingati Allah.

Ketiga, manusia mudah terpengaruh dengan godaan syaitan dan apabila mereka leka dengan hiburan dan alat muzik amat mudah mereka menuju ke jalan kesesatan.

Keempat, jika keadaan memerlukan penggunaan alat muzik atau hiburan, batas syarak dan etika muzik, pemuzik, lagu dan tempat hendaklah selari dengan ajaran Islam.

Walaupun muzik dan lagu adalah sebagai alternatif dakwah, matlamat untuk pengabdian yang sebenar kepada Allah mungkin tidak tercapai.

Muzik dan lagu hanya memberi kesan luaran dan santai semata-mata. Islam amat mementingkan amalan dan pembentukan akhlak mulia melalui pendekatan yang bermanfaat.

Soalan Agama: Dilema walikan anak hasil zina

Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri jawab

SOALAN
SAYA mempunyai masalah untuk menentukan wali anak kerana sebelum berkahwin dengan isteri, saya melakukan kesilapan besar apabila berzina dalam tempoh pertunangan.

Saya ada mendengar seorang ustaz mengatakan jika anak lahir selepas enam bulan dari tarikh perkahwinan anak itu masih dikira anak sah taraf dan bapanya boleh menjadi wali.

Persoalan saya adakah benar saya masih boleh menjadi wali kepada anak saya?

KELIRU, Kuala Lumpur

Jawapan
MENGIKUT mazhab Syafie, tempoh hamil yang sabit nasab minimum adalah selepas enam bulan qamariah (mengikut hitungan tahun Hijrah) daripada tarikh perkahwinan.

Inilah yang dibenarkan Islam tanpa perlu ada keraguan. Dengan itu seorang anak menjadi anak sah taraf daripada perkahwinan yang sah. Bagi anak perempuan, bapa menjadi wali.

Tempoh enam bulan berdasarkan dua ayat al-Quran: "... sedangkan tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh mencerai susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. ..." (al-Ahqaf (46): 15), dan seterusnya "... dan tempoh mencerai susunya ialah dalam masa dua tahun ..." (Luqman (31): 14).

Jadi dua tahun tolak tiga puluh bulan adalah enam bulan. Bagaimanapun dengan berlaku dosa zina, anda menghadapi dilema seperti di atas.

Ia adalah akibat daripada perbuatan sendiri. Penyelesaiannya sama ada anda menerima seperti kenyataan di atas atau menyerahkannya kepada wali hakim.

Soalan Agama: Isteri gersang suami homoseks

Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN
SAYA sudah berumahtangga selama lebih 20 tahun. Pada tahun lalu saya mendapat tahu suami saya pernah mengadakan hubungan sejenis dengan rakan sekerjanya.

Beliau mengaku dan berjanji tidak akan melakukannya lagi. Oleh kerana amat menyayanginya saya memaafkannya dan meneruskan hidup sebagai suami isteri walaupun kadangkala masih ragu-ragu terhadapnya.

Namun timbul masalah lain apabila baru-baru ini saya menjumpai dua keping kertas yang mempunyai tulisan seperti ayat al-Quran dicampuradukkan dengan gambar rajah ganjil serta gambar haiwan seperti naga yang berkepala seperti iblis dan ular.

Saya mengesyaki suami saya menyimpannya sebagai tangkal. Saya memberitahunya menyimpan tangkal adalah amalan syirik, tetapi beliau menafikannya dan memarahi saya.

Saya minta supaya dia bertaubat atas dosa itu. Sejak itu suami mula bersolat di masjid. Saya berharap dia bertaubat.

Apa yang merunsingkan ialah dia tidak melayani saya seperti sebelum ini. Dia tidak mahu bercakap dan makan bersama. Walaupun kami tidur bersama, dia tidak membalas pelukan apabila saya memeluknya.

Saya kini berasa amat tertekan dan ingin berpisah dengannya kerana rasakan tidak dihargai. Kadangkala saya teringin untuk keluar daripada perkahwinan ini, tetapi hati kecil saya menahan daripada melakukannya.

Orang yang mengenali dia juga mungkin tidak percaya dia seorang homoseks dan kadangkala kaki pukul kerana sifat itu tidak kelihatan di khalayak ramai.

ISTERI MALANG, Selangor.

JAWAPAN
DALAM berumah tangga, setiap pasangan ada hak dan tanggungjawab tertentu. Bagi isteri ada hak berupa harta termasuk mahar serta nafkah manakala hak bukan harta termasuk mendapat layan baik dan keadilan.

Dalam hak bukan harta, isteri mempunyai hak untuk bersetubuh sebagai memenuhi kehendak nafsu dan memupuk kasih sayang. Hak itu wajib dipenuhi suami. Apabila hak itu tidak dapat dilaksanakan, pergolakan rumah tangga bermula.

Sebagai contoh, sekiranya suami gagal memenuhi hak isteri dalam bersetubuh sekurang-kurang sekali dalam empat bulan, isteri boleh memohon cerai melalui cara taklik. Begitu juga apabila suami mencederakan isteri dan tidak melayan isteri dengan cara sepatutnya dan baik (al-mu'asharah bi al-ma'ruf), isteri juga boleh memohon cerai.

Islam membenarkan perceraian bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga yang tiada penyelesaian. Mudah-mudahan kedua-dua pasangan dapat memulakan hidup baru dengan baik seterusnya. Hal sama perlu diambil kira dalam menyelesaikan masalah rumah tangga puan.

Soalan Agama: Pinggan kena daging babi perlu disamak

Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN
SAYA tinggal bersama keluarga yang beragama Kristian dan sering ke luar negara. Mereka kerap memasak daging babi, tetapi tetap menghormati saya dan tidak memasaknya apabila saya berkunjung ke rumah mereka.

Namun, saya masih ragu-ragu untuk menggunakan pinggan mangkuk di rumah mereka.

Daripada hukum Islam, jika pinggan dan periuk digunakan untuk memasak daging babi, adakah ia perlu disamak sebelum menggunakannya atau sudah mencukupi sekadar membasuhnya dengan sabun?

Saya keliru kerana ada sesetengah pendapat mengatakan periuk, pinggan dan mangkuk yang pernah digunakan untuk memasak daging babi tidak perlu disamak, tetapi yang perlu disamak hanya berkaitan dengan anjing.

FARHANA, Kuala Lumpur.

JAWAPAN
APABILA sudah pasti barangan seperti pinggan mangkuk atau periuk belanga yang digunakan terkena najis berat (mughallazah), ia perlu disamak terlebih dulu.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sucinya bejana (bekas) yang dijilat anjing adalah dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali dengan air, termasuk satu yang utama dengan air tanah." (Hadis Riwayat Muslim)

Penggunaan bahan lain seperti sabun tidak menjadi syarat yang boleh menyucikan najis berat itu. Tinggal bersama keluarga beragama Kristian tidak boleh menyebabkan anda meninggalkan suruhan agama.

Anda perlu memberitahu mereka kehendak agama Islam. Mereka tentu memahami dan menghormati agama anda. Anda tidak perlu malu untuk berterus terang.

Soalan Agama: Tunai haji dengan wang pinjaman

Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN
BOLEHKAH saya membuat pinjaman bank bagi menghantar ibu bapa menunaikan haji? Adakah sah haji mereka dengan wang itu?

Ini memandangkan ibu bapa saya sudah tua dan tiada wang simpanan mencukupi.

MAN, Selangor

JAWAPAN
ISLAM agama yang mudah dan tidak menyusahkan umatnya. Contohnya, mengerjakan rukun haji disyaratkan kepada yang mampu daripada sudut kewangan.

Meminjam wang dari institusi kewangan bagi menunaikan haji tidak digalakkan. Walaupun hukum meminjam itu mungkin pelbagai berdasarkan keadaan, saya melihat pinjaman dengan tujuan membolehkan ibu bapa menunaikan haji itu tidak baik.

Ini kerana seseorang yang ingin menunaikan haji hendaklah menyelesaikan hutang terlebih dahulu. Walaupun niat anda baik ingin membantu ibu bapa yang sudah tua, memilih cara meminjam dan berhutang tidak kena pada tempatnya. Bagaimanapun, haji yang ditunaikan tetap sah.

Thursday, April 22, 2010

Soalan Agama: Solat Isyak jam 5.30 pagi

Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri jawab

SAYA sedang mengandung anak keempat dan sudah mempunyai tiga anak. Sebagai ibu dan yang bekerja, keadaan ini membuatkan saya sangat letih dengan kerja rumah serta melayan kerenah anak.

Oleh itu, saya sering bangun tidur pada jam 5 pagi keesokannya untuk menunaikan solat Isyak dan kadang-kadang tersasar hingga jam 5.30 pagi. Adakah sah solat saya?

INGIN TAHU
Selangor

SETIAP sembahyang fardu ada waktu yang tertentu. Ini jelas apabila Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "... sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (al-Quran, al-Nisa' (4): 103). Bagi waktu solat Isyak ia bermula dengan hilangnya cahaya yang merah di ufuk barat hingga naik fajar sadik sebelah timur di waktu pagi. Dengan kata lain waktu solat Isyak sangat panjang dari lepas waktu Maghrib hingga masuk waktu Subuh. Menunaikan solat Isyak dalam waktu itu adalah sah seperti yang anda lakukan. Ia adalah keringanan yang diberikan Allah bagi umat Islam. Apa yang penting tanggungjawab kepada Allah wajib ditunaikan di samping tanggungjawab yang lain yang anda lakukan.

Soalan Agama: Haram jampi suami

Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri jawab

ADAKAH Islam membenarkan untuk mandi bunga menggunakan tiga jenis bunga berlainan dan limau purut berserta ayat al-Quran dan dijampi dengan tujuan supaya suami menyayangi kita?

Contohnya minyak yang mempunyai akar buluh perindu dijampi menggunakan ayat al-Quran yang dibuat anak dara saja. Sebelum itu minyak itu di jampi dengan ayat seperti berikut " Assalamualaikum, saya serahkan kepada A Bt B, tengoklah apa-apa yang boleh dibantu". Cara pemakaiannya pula, minyak berkenaan diletak pada jari manis kemudian disapukan ke bahagian mata dan mulut berserta niat " Ya Allah dan sahabat yang beriman dengannya jadikanlah (dengan niat) contohnya 'jadikan suamiku sayang kepadaku'.

RINA
Kuala Lumpur

MENJAMPI suami dengan sihir dan guna-guna tidak dibenarkan Islam. Islam mengharamkan perbuatan itu dan ia perlu ditinggalkan kerana termasuk dosa besar apabila membabitkan pertolongan selain daripada Allah. Anda hendaklah meninggalkan amalan sedemikian. Kasih sayang antara suami isteri hendaklah timbul berdasarkan perasaan semula jadi dan bukannya secara paksaan dan jampian. Allah menjanjikan perasaan itu lahir apabila ada perasaan kasih dan hormat antara kedua-dua pasangan: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya, Ia menciptakan untuk kamu, isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan bagi orang yang berfikir." (al-Quran, al-Rum (30): 21)

Soalan Agama: Haram jampi suami

Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri jawab

ADAKAH Islam membenarkan untuk mandi bunga menggunakan tiga jenis bunga berlainan dan limau purut berserta ayat al-Quran dan dijampi dengan tujuan supaya suami menyayangi kita?

Contohnya minyak yang mempunyai akar buluh perindu dijampi menggunakan ayat al-Quran yang dibuat anak dara saja. Sebelum itu minyak itu di jampi dengan ayat seperti berikut " Assalamualaikum, saya serahkan kepada A Bt B, tengoklah apa-apa yang boleh dibantu". Cara pemakaiannya pula, minyak berkenaan diletak pada jari manis kemudian disapukan ke bahagian mata dan mulut berserta niat " Ya Allah dan sahabat yang beriman dengannya jadikanlah (dengan niat) contohnya 'jadikan suamiku sayang kepadaku'.

RINA
Kuala Lumpur

MENJAMPI suami dengan sihir dan guna-guna tidak dibenarkan Islam. Islam mengharamkan perbuatan itu dan ia perlu ditinggalkan kerana termasuk dosa besar apabila membabitkan pertolongan selain daripada Allah. Anda hendaklah meninggalkan amalan sedemikian. Kasih sayang antara suami isteri hendaklah timbul berdasarkan perasaan semula jadi dan bukannya secara paksaan dan jampian. Allah menjanjikan perasaan itu lahir apabila ada perasaan kasih dan hormat antara kedua-dua pasangan: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya, Ia menciptakan untuk kamu, isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan bagi orang yang berfikir." (al-Quran, al-Rum (30): 21)

Soalan Agama: Masuk jari bukan zina

Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri jawab

APAKAH yang dimaksudkan dengan perlakuan zina?

Jika lelaki memasukkan jarinya ke dalam kemaluan wanita adakah ia dikatakan perbuatan zina?

ZIE
Johor

ZINA atau mukah adalah persetubuhan yang tidak sah atau haram (bukan antara suami isteri) (Kamus Dewan 2005). Secara jelas zina ditakrifkan sebagai menyetubuhi perempuan pada kemaluannya secara haram tanpa sebarang syubhah dan tahu ia adalah haram. Unsur fizikal zina adalah perbuatan memasukkan hasyafah (kepala zakar) lelaki ke dalam faraj perempuan. Segala bentuk persetubuhan tidak menepati syarat fizikal berkenaan bukan zina, tetapi tetap perbuatan maksiat seperti bercium, berpeluk, berkhalwat dan memasukkan jari ke dalam kemaluan perempuan. Ia dikira sebagai percubaan melakukan zina (mukadimah zina). Ia boleh dikenakan hukuman takzir saja dan bukan hudud (100 kali sebatan bagi penzina bukan muhsan, iaitu yang belum berkahwin) (Paizah Haji Ismail, 1996).

Tuesday, April 6, 2010

Agama: Asy-Syaima teman sepermainan Rasulullah

ASY-SYAIMA atau nama sebenarnya Khadzzamah atau Hadzafah ialah anak perempuan Halimatus as-Sadiah. Halimatus as-Sadiah ialah ibu susuan Nabi Muhammad.

Asy Syaima turut menjaga dan mengasuh Nabi Muhammad semasa kecil. Dia dan Nabi Muhammad adalah saudara susuan. Dia selalu membantu ibunya menjaga Nabi Muhammad.

Semasa umur Nabi Muhammad dua tahun, Halimah dikehendaki menghantar Nabi Muhammad kepada ibunya, Aminah. Namun selepas mendapat persetujuan Aminah, Halimah dapat membawa pulang Nabi Muhammad dan terus menjaganya sehingga berusia lima tahun.

Nabi Muhammad suka bermain bersama-sama anak-anak Halimah. Halimah mempunyai tiga orang anak iaitu Abdullah, Anisah dan Asy-Syaima. Halimah ada menggembala kambing. Sejak Nabi Muhammad tinggal dengannya kambing-kambingnya mengeluarkan hasil yang banyak.

Semasa Halimah mengawal kambing-kambingnya, Nabi Muhammad akan diawasi dan dijaga oleh Asy-Syaima.

"Mari ke sini Muhammad. Kakak akan bawa awak bermain di sana," kata Asy-Syaima sambil mendukung Muhammad yang masih kecil.

Asy-Syaima sering membantu ibunya menjaga Nabi Muhammad. Dia akan memastikan Nabi Muhammad berada dalam keadaan baik. Dia selalu bermain-main dengan Nabi Muhammad. Jika Nabi Muhammad berlari, dia akan mengejarnya. Jika Nabi Muhammad nampak keletihan, dia akan mendukung Nabi Muhammad.

"Jangan main panas," ujar Halimah menasihat Asy-Syaima dan Nabi Muhammad.

"Baik, saya akan jaga Muhammad elok-elok," kata Asy-Syaima kepada ibunya.

"Muhammad mari kita main di bawah pokok sana," ajak Asy-Syaima.

Nabi Muhammad segera menuruti pelawaan Asy-Syaima. Mereka bermain di bawah pokok. Sedang asyik mereka bermain, Asy-Syaima pun menyanyikan satu lagu untuk Nabi Muhammad.

Lagu itu berbunyi, "Wahai tuhan kami, biarkan Muhammad bersama kami sehingga saya dapat melihat Muhammad meningkat remaja dan menjadi seorang pemuda. Seterusnya saya dapat melihat dia menjadi pemimpin yang terhormat dan disegani. Binasakan musuh-musuh dan orang yang selalu dengki kepadanya. Berilah dia kekuatan dan kemuliaan yang abadi".

Ungkapan-ungkapan Asy-Syaima itu akhirnya menjadi kenyataan. Pada suatu hari, Halimah sibuk membuat kerjanya. Dia terlupa melihat tempat Nabi Muhammad bermain.

Pada hari itu cuaca sangat panas. Jenuh Halimah mencari Nabi Muhammad disekeliling rumahnya tetapi tidak jumpa.

"Ke manakah agaknya Muhammad ini?" bisik Halimah sendirian.

Kemudian Halimah teringat Asy-Syaima sering bermain dengan Nabi Muhammad. Dia segera mendapatkan anak-anaknya itu. Dia pergi ke tempat permainan yang biasa mereka main.

"Di sinikah kamu berdua. Hari ini panas terik. Mengapakah kamu biarkan Muhammad bermain di tengah panas?" tanya Halimah kepada anak perempuannya itu.

Asy-Syaima lantas menjawab, "Muhammad tidak pernah terkena panas matahari. Saya selalu mengikutinya dan lihat ada sekelompok awan yang melindunginya. Apabila Muhammad berlari, awan itu juga turut bergerak pantas. Apabila Muhammad berhenti, awan itu juga berhenti".

Halimat terkejut mendengar cerita anak perempuannya itu. Dia seperti tidak percaya dengan cerita anaknya itu.

Lalu Halimah pun bertanya, "Benarkah? Atau kamu sengaja membuat cerita supaya kamu tidak dimarahi oleh ibu".

"Benar ibu. Saya berkata benar," jawab Asy-Syaima.

Halimah menjadi hairan. Dia melihat wajah Nabi Muhammad. Kejadian itu adalah satu peristiwa aneh yang berlaku ke atas Nabi Muhammad. Dia dapat merasakan bahawa Nabi Muhammad adalah seorang anak yang baik.

Kemudian Halimah berkata sendirian, "Dahulu semasa mula-mula saya bawa Muhammad ke perkampungan ini, semua kambing peliharaan saya menjadi gemuk dan mengeluarkan susu yang banyak.

"Pada hal waktu itu tempat ini mengalami musim kemarau yang panjang. Pada hari ini pula satu lagi kejadian aneh berlaku kepada Muhammad. Muhammad memang anak yang baik dan teristimewa".

Selama lima tahun Nabi Muhammad diasuh dan dijaga oleh Halimah dan dibantu oleh Asy-Syaima. Mereka hidup dengan aman dan bahagia. Asy-Syaima dan keluarganya sangat dihormati dan dicintai oleh Nabi Muhammad.

Sunday, April 4, 2010

Soalan Agama

SOALAN 2:

Adakah ibadah akikah hanya dilakukan semasa kecil atau boleh dilakukan selagi hidup?

JAWAPAN:

Ibadah akikah ini hukumnya sunat muakkad (yang dituntut) bukan wajib seperti yang dipercayai oleh sesetengah orang. Ibu bapa diberi kemudahan untuk melaksanakannya pada bila-bila masa dalam tempoh selepas tujuh hari lahir sehingga baligh.

Jika anak-anak sudah baligh tetapi mereka masih juga tidak mampu tidak mengapa tidak melakukannya kerana tuntutan ke atas wali telah gugur dan sunat bagi diri anak-anak itu sendiri melaksanakan akikah untuk dirinya sendiri seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW kepada diri baginda sendiri setelah diangkat menjadi Rasul (riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Tabrani).

SOALAN 3:

Jika kini kami adik-beradik (tiga orang perempuan) ingin melakukan ibadah akikah, bagaimanakah caranya?

JAWAPAN:

Ia ibadah yang mudah. Oleh kerana kalian bertiga perempuan, setiap seorang perlu menyediakan seekor kambing biri-biri (shah) untuk diakikahkan kerana ia adalah yang paling afdal.

Ia bertepatan dengan pedoman hadis daripada Saidatina Aisyah yang diriwayatkan oleh al-Hakim dalam Mustadraknya, 4/266, no. 7595. Jadi tiga ekor kambing biri-biri diperlukan.

Apa yang lebih penting menentukan niat sembelihan untuk akikah dan untuk siapa: si fulanah binti si fulan.

Ia perlulah disembelih oleh seorang lelaki Islam dengan alat sembelihan yang tajam. Tulang-tulangnya dipotong mengikut sendi dan tidak dihancurkan.

Adalah lebih afdal daging tersebut dimasak masakan yang berasa manis. Kemudian diberi makan kepada orang ramai terutamanya fakir miskin.

Terkini, ibadah ini ada diuruskan oleh syarikat-syarikat tertentu dan boleh diupah secara online seperti di http://www.korbanaqiqah.com.my.

Soalan Agama


Dari Utusan Online

Soalan 1:

Apakah hukum mewarnakan rambut mengunakan pewarna yang dinyatakan halal, walau pun bermacam-macam warna?

Jawapan:

Hukum mewarnakan rambut (sabgh al-sha'r) adalah harus kecuali mewarnakan rambut dengan warna hitam berdasarkan satu hadis riwayat Muslim, no. 2102: Ubahlah warna uban ini akan tetapi elakkanlah daripada warna hitam (menghitamkannya).

Warna hitam hanya diharuskan bagi mereka yang menghadapi penyakit beruban walaupun masih terlalu muda dan untuk muslihat perang. Namun mewarnakan rambut adalah makruh bagi golongan muda yang tidak bermasalah.

Pengecualian dikhaskan kepada para isteri yang berbuat demikian atas permintaan suami atau diizinkan oleh suami.

Hukum ini bertukar menjadi haram jika tiada tujuan tertentu seperti untuk suka-suka atau dengan niat yang bersalahan dengan panduan syarak seperti wanita yang berbuat begitu untuk menunjuk-nunjuk atau berhias-hias (tabarruj) mempamerkan rambut kepada bukan mahram dengan mengabaikan syariat menutup aurat dalam Islam.

Begitu juga jika bahan yang digunakan merosakkan rambut anugerah Allah kerana ia adalah amanah Allah yang 'dipinjamkan' kepada kita.

Apa yang penting bagi orang yang ingin mewarnakan rambut ialah bahan pewarna itu halal dan telap air seperti inai (ini jelas harus dan disebut di dalam hadis) kerana jika tidak telap air, wuduk anda dianggap tidak sah.

Mengikut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), dari segi ramuan pewarna rambut yang berada di pasaran kita terbahagi kepada dua jenis. Kedua-duanya adalah halal dari segi bahan kandungan tetapi satu telap air dan satu lagi tidak, maka perlulah dipastikan terlebih dahulu.

Pewarna rambut yang dipasarkan biasanya akan tertulis pada kotak permanent dye atau semi permanent dye.

Mengikut kajian, jenis yang semi-pamenent dye adalah jenis yang tidak menyerap air dan ia tidak boleh dipakai oleh orang Islam. Begitu juga sebaliknya.

Hakikatnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah mengeluarkan sijil halal untuk produk pewarna rambut kerana ia dikilangkan di luar negara. Secara teknikalnya, Jakim hanya mengeluarkan sijil halal untuk produk yang diproseskan di Malaysia sahaja.

Tiada keharusan ditemui untuk mewarnakan rambut pelbagai warna pada satu kepala (tamyish al-sha'r). Ada ulama menghukumkan haram kerana menyerupai budaya orang kafir.

Tugu Negara

Setelah berpuluh tahun PAS khasnya membantah upcara atau majlis seumpama perayaan Hari Pahlawan diadakan di hadapan Tugu Negara, akhirnya kerajaan Persekutuan mengumumkan tidak lagi akan mengadakan majlis seumpama itu kerana menghormati pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Majlis Fatwa ada memutuskan amalan seperti tiupan ‘Last Post’, bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan ‘Rouse’ yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

Semoga segala amalan syirik dan haram lain dapat ditiadakan dan masyarakat dapat dibersihkan dari unsur-unsur yang mengundang murka Allah swt.

Walau bagaimanapun pengumuman Menteri Pertahanan bahawa sebuah dataran akan dibina di Putrajaya bagi diadakan majlis berkenaan (tanpa tugu) bagi saya adalah satu pembaziran.

Bukannya kita tidak menghargai majlis memperingati jasa pahlawan-pahlawan kita, tetapi bijakkah dibelanjakan wang rakyat untuk membina sebuah dataran sedangkan kita telah sedia ada banyak dataran, stadium dan seumpamanya.

Di Putrajaya pun telah sedia ada dataran yang digunakan untuk perayaan Hari Kemerdekaan. Gunakanlah sahaja apa yang ada. Islam bukan sekadar mengajar kita menjauhi amalan syirik tetapi juga mengesyorkan kita agar mengelakkan pembaziran tambah-tambah yang melibatkan wang rakyat.