Pages

Wednesday, February 20, 2013

camping tlk segadas 9-11 feb 13

camplng kali yg ke-8 ini disertai seramai 29 orang termasuk 3 org kanak2. 3 hari 2 malam amat menyeronokkan, peserta rasa tak puas dng pantai yg cantik dan air yg jernih .

Sunday, April 25, 2010

Soalan Agama: Muzik dan lagu

Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri jawab

Soalan

APAKAH hukum bermain gitar dan peralatan muzik lain? Setahu saya, ia haram jika tujuan alat itu digunakan di tempat maksiat dan melalaikan manusia.

HASSAN,
Selangor.

Jawapan

TERDAPAT hadis Nabi yang melarang penggunaan alatan muzik tertentu termasuk gitar dan alat ditiup seperti serunai. Ada ulama yang mengharamkan penggunaannya.

Sesetengah ulama mengkaji sebab atau 'ilah' di sebalik larangan berkenaan jika alat berkenaan digunakan pada majlis maksiat dan yang menggunakannya pula terdiri daripada orang fasik, pelaku maksiat serta peminum arak.

Sebab itu, ia dilarang, tetapi apabila ia tidak membabitkan perkara maksiat, maka ia diharuskan. Syariah Islam tentunya mempunyai sebab melarang penggunaan alat muzik seperti di atas.

Pertama, Islam lebih mementingkan perkara berfaedah daripada hiburan semata-mata. Kedua, alat berkenaan lebih cenderung melakukan pembaziran masa selain melalaikan manusia daripada mengingati Allah.

Ketiga, manusia mudah terpengaruh dengan godaan syaitan dan apabila mereka leka dengan hiburan dan alat muzik amat mudah mereka menuju ke jalan kesesatan.

Keempat, jika keadaan memerlukan penggunaan alat muzik atau hiburan, batas syarak dan etika muzik, pemuzik, lagu dan tempat hendaklah selari dengan ajaran Islam.

Walaupun muzik dan lagu adalah sebagai alternatif dakwah, matlamat untuk pengabdian yang sebenar kepada Allah mungkin tidak tercapai.

Muzik dan lagu hanya memberi kesan luaran dan santai semata-mata. Islam amat mementingkan amalan dan pembentukan akhlak mulia melalui pendekatan yang bermanfaat.

Soalan Agama: Dilema walikan anak hasil zina

Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri jawab

SOALAN
SAYA mempunyai masalah untuk menentukan wali anak kerana sebelum berkahwin dengan isteri, saya melakukan kesilapan besar apabila berzina dalam tempoh pertunangan.

Saya ada mendengar seorang ustaz mengatakan jika anak lahir selepas enam bulan dari tarikh perkahwinan anak itu masih dikira anak sah taraf dan bapanya boleh menjadi wali.

Persoalan saya adakah benar saya masih boleh menjadi wali kepada anak saya?

KELIRU, Kuala Lumpur

Jawapan
MENGIKUT mazhab Syafie, tempoh hamil yang sabit nasab minimum adalah selepas enam bulan qamariah (mengikut hitungan tahun Hijrah) daripada tarikh perkahwinan.

Inilah yang dibenarkan Islam tanpa perlu ada keraguan. Dengan itu seorang anak menjadi anak sah taraf daripada perkahwinan yang sah. Bagi anak perempuan, bapa menjadi wali.

Tempoh enam bulan berdasarkan dua ayat al-Quran: "... sedangkan tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh mencerai susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. ..." (al-Ahqaf (46): 15), dan seterusnya "... dan tempoh mencerai susunya ialah dalam masa dua tahun ..." (Luqman (31): 14).

Jadi dua tahun tolak tiga puluh bulan adalah enam bulan. Bagaimanapun dengan berlaku dosa zina, anda menghadapi dilema seperti di atas.

Ia adalah akibat daripada perbuatan sendiri. Penyelesaiannya sama ada anda menerima seperti kenyataan di atas atau menyerahkannya kepada wali hakim.

Soalan Agama: Isteri gersang suami homoseks

Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN
SAYA sudah berumahtangga selama lebih 20 tahun. Pada tahun lalu saya mendapat tahu suami saya pernah mengadakan hubungan sejenis dengan rakan sekerjanya.

Beliau mengaku dan berjanji tidak akan melakukannya lagi. Oleh kerana amat menyayanginya saya memaafkannya dan meneruskan hidup sebagai suami isteri walaupun kadangkala masih ragu-ragu terhadapnya.

Namun timbul masalah lain apabila baru-baru ini saya menjumpai dua keping kertas yang mempunyai tulisan seperti ayat al-Quran dicampuradukkan dengan gambar rajah ganjil serta gambar haiwan seperti naga yang berkepala seperti iblis dan ular.

Saya mengesyaki suami saya menyimpannya sebagai tangkal. Saya memberitahunya menyimpan tangkal adalah amalan syirik, tetapi beliau menafikannya dan memarahi saya.

Saya minta supaya dia bertaubat atas dosa itu. Sejak itu suami mula bersolat di masjid. Saya berharap dia bertaubat.

Apa yang merunsingkan ialah dia tidak melayani saya seperti sebelum ini. Dia tidak mahu bercakap dan makan bersama. Walaupun kami tidur bersama, dia tidak membalas pelukan apabila saya memeluknya.

Saya kini berasa amat tertekan dan ingin berpisah dengannya kerana rasakan tidak dihargai. Kadangkala saya teringin untuk keluar daripada perkahwinan ini, tetapi hati kecil saya menahan daripada melakukannya.

Orang yang mengenali dia juga mungkin tidak percaya dia seorang homoseks dan kadangkala kaki pukul kerana sifat itu tidak kelihatan di khalayak ramai.

ISTERI MALANG, Selangor.

JAWAPAN
DALAM berumah tangga, setiap pasangan ada hak dan tanggungjawab tertentu. Bagi isteri ada hak berupa harta termasuk mahar serta nafkah manakala hak bukan harta termasuk mendapat layan baik dan keadilan.

Dalam hak bukan harta, isteri mempunyai hak untuk bersetubuh sebagai memenuhi kehendak nafsu dan memupuk kasih sayang. Hak itu wajib dipenuhi suami. Apabila hak itu tidak dapat dilaksanakan, pergolakan rumah tangga bermula.

Sebagai contoh, sekiranya suami gagal memenuhi hak isteri dalam bersetubuh sekurang-kurang sekali dalam empat bulan, isteri boleh memohon cerai melalui cara taklik. Begitu juga apabila suami mencederakan isteri dan tidak melayan isteri dengan cara sepatutnya dan baik (al-mu'asharah bi al-ma'ruf), isteri juga boleh memohon cerai.

Islam membenarkan perceraian bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga yang tiada penyelesaian. Mudah-mudahan kedua-dua pasangan dapat memulakan hidup baru dengan baik seterusnya. Hal sama perlu diambil kira dalam menyelesaikan masalah rumah tangga puan.

Soalan Agama: Pinggan kena daging babi perlu disamak

Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN
SAYA tinggal bersama keluarga yang beragama Kristian dan sering ke luar negara. Mereka kerap memasak daging babi, tetapi tetap menghormati saya dan tidak memasaknya apabila saya berkunjung ke rumah mereka.

Namun, saya masih ragu-ragu untuk menggunakan pinggan mangkuk di rumah mereka.

Daripada hukum Islam, jika pinggan dan periuk digunakan untuk memasak daging babi, adakah ia perlu disamak sebelum menggunakannya atau sudah mencukupi sekadar membasuhnya dengan sabun?

Saya keliru kerana ada sesetengah pendapat mengatakan periuk, pinggan dan mangkuk yang pernah digunakan untuk memasak daging babi tidak perlu disamak, tetapi yang perlu disamak hanya berkaitan dengan anjing.

FARHANA, Kuala Lumpur.

JAWAPAN
APABILA sudah pasti barangan seperti pinggan mangkuk atau periuk belanga yang digunakan terkena najis berat (mughallazah), ia perlu disamak terlebih dulu.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sucinya bejana (bekas) yang dijilat anjing adalah dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali dengan air, termasuk satu yang utama dengan air tanah." (Hadis Riwayat Muslim)

Penggunaan bahan lain seperti sabun tidak menjadi syarat yang boleh menyucikan najis berat itu. Tinggal bersama keluarga beragama Kristian tidak boleh menyebabkan anda meninggalkan suruhan agama.

Anda perlu memberitahu mereka kehendak agama Islam. Mereka tentu memahami dan menghormati agama anda. Anda tidak perlu malu untuk berterus terang.

Soalan Agama: Tunai haji dengan wang pinjaman

Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri

SOALAN
BOLEHKAH saya membuat pinjaman bank bagi menghantar ibu bapa menunaikan haji? Adakah sah haji mereka dengan wang itu?

Ini memandangkan ibu bapa saya sudah tua dan tiada wang simpanan mencukupi.

MAN, Selangor

JAWAPAN
ISLAM agama yang mudah dan tidak menyusahkan umatnya. Contohnya, mengerjakan rukun haji disyaratkan kepada yang mampu daripada sudut kewangan.

Meminjam wang dari institusi kewangan bagi menunaikan haji tidak digalakkan. Walaupun hukum meminjam itu mungkin pelbagai berdasarkan keadaan, saya melihat pinjaman dengan tujuan membolehkan ibu bapa menunaikan haji itu tidak baik.

Ini kerana seseorang yang ingin menunaikan haji hendaklah menyelesaikan hutang terlebih dahulu. Walaupun niat anda baik ingin membantu ibu bapa yang sudah tua, memilih cara meminjam dan berhutang tidak kena pada tempatnya. Bagaimanapun, haji yang ditunaikan tetap sah.

Thursday, April 22, 2010

Soalan Agama: Solat Isyak jam 5.30 pagi

Dr.Abdul Salam Muhammad Shukri jawab

SAYA sedang mengandung anak keempat dan sudah mempunyai tiga anak. Sebagai ibu dan yang bekerja, keadaan ini membuatkan saya sangat letih dengan kerja rumah serta melayan kerenah anak.

Oleh itu, saya sering bangun tidur pada jam 5 pagi keesokannya untuk menunaikan solat Isyak dan kadang-kadang tersasar hingga jam 5.30 pagi. Adakah sah solat saya?

INGIN TAHU
Selangor

SETIAP sembahyang fardu ada waktu yang tertentu. Ini jelas apabila Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "... sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (al-Quran, al-Nisa' (4): 103). Bagi waktu solat Isyak ia bermula dengan hilangnya cahaya yang merah di ufuk barat hingga naik fajar sadik sebelah timur di waktu pagi. Dengan kata lain waktu solat Isyak sangat panjang dari lepas waktu Maghrib hingga masuk waktu Subuh. Menunaikan solat Isyak dalam waktu itu adalah sah seperti yang anda lakukan. Ia adalah keringanan yang diberikan Allah bagi umat Islam. Apa yang penting tanggungjawab kepada Allah wajib ditunaikan di samping tanggungjawab yang lain yang anda lakukan.