Pages

Tuesday, December 1, 2009

Umum: Tragedi Natrah diimbau kembali

Oleh ROHANI IBRAHIM
pengarang@utusan.com.m

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Tragedi Natrah yang menyayat hati dan pernah mencetuskan rusuhan berdarah akibat rasa tidak puas hati di kalangan orang Islam satu ketika dahulu diimbau kembali melalui pementasan teater di Panggung Sari, Istana Budaya.

Teater arahan Erma Fatima itu membuka tirai persembahan malam ini yang mana ia turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Turut hadir menyaksikan teater itu termasuklah Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir serta Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.

Ia dibintangi oleh Maya Karin selaku Natrah ketika berusia 13 dan 20 tahun, Remy Ishak (Mansor Adabi), Umie Aida (Che Aminah), Sofia Jane (Natrah ketika berusia 70 tahun) dan Samantha Schubert (Adeline).

Pementasan selama dua jam itu mengandungi tujuh buah lagu.

Selain barisan pelakon utama, Teater Natrah turut melibatkan hampir 100 pelakon lain termasuk pelakon kanak-kanak.

Ia menceritakan kisah benar seorang wanita Belanda yang bernama Natrah atau Maria Hertogh yang diserahkan oleh ibunya kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya yang ditawan tentera Jepun.

Sejak ditinggalkan bersama Che Aminah, Natrah dipelihara dan menjalani hidup dalam suasana dan budaya Islam.

Namun apabila bapanya Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh tentera Amerika Syarikat (AS), dia pulang ke Bandung, Jawa untuk mencari anaknya Natrah yang ketika itu berada di Chukai, Terengganu.

Konflik berlaku apabila perebutan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda.

Che Aminah yang diwakili peguam Ahmad Ibrahim menang dalam kes rayuan dan Natrah dikembalikan ke pangkuannya.

Kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di Singapura.

Natrah pada ketika itu berusia 13 tahun manakala Mansor berusia 22 tahun.

Sungguhpun undang-undang Syariah Islam membenarkan perempuan berkahwin dalam usia tersebut namun mengikut Undang-Undang Belanda, kehidupan seorang anak yang berumur di bawah usia 16 tahun ditentukan oleh bapa kanak-kanak tersebut.

Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di Singapura, sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.

Mengikut laporan, seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.

Natrah meninggal dunia di Huijbergen, Belanda Julai lalu pada usia 72 tahun akibat leukimia.

Pementasan Teater Natrah yang bermula malam ini akan berlangsung hingga 9 Disember ini dan mendapat sokongan daripada Kumpulan Utusan selaku media rasmi selain Sinar FM sebagai radio rasmi.

Tiket-tiket berharga RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150 kini sudah mula dijual.

Pertanyaan mengenai tiket dan pementasan boleh hubungi Box Office (03-40265558, 03-40265558) atau www. istanabudaya.gov.my.

No comments: