Pages

Monday, December 14, 2009

Komputer:Twitter terus popular, Facebook makin popular

WASHINGTON 13 Dis. - Twitter yang mendapat sambutan hangat melalui telefon bimbit canggih dan lonjakan melalui dalam talian, telah popular sejak tahun lalu lagi, sementara Facebook telah mengatasi MySpace sebagai laman web rangkaian sosial terkemuka di dunia.

"Kedua-duanya adalah pemenang besar. Facebook telah meningkatkan saiznya kepada tiga kali lebih besar pada tahun ini.

"Twitter pula berkembang pesat. Saya rasa terdapat dua hingga empat juta pengguna pada awal tahun ini dan sekarang ia telah meningkat hampir 40 juta," kata pakar runding sosial media dan pengasas SocialFresh.com yang menganjurkan persidangan media sosial, Jason Keath.

Bekas timbalan setiausaha akhbar kepada bekas Presiden George W. Bush, Scott Stanzel yang juga pernah bekerja dengan Microsoft, menyatakan bahawa sekiranya Facebook adalah sebuah negara ia merupakan kawasan paling ramai penduduk dengan 350 juta pengguna.

"Jika diimbas setahun lalu saya fikir tidak ramai yang menyangka Twitter menjadi begitu berpengaruh hari ini.

"Ia semakin popular, namun tahun ini ia 'meletup' dan semakin ramai menyertai," katanya.

Twitter dilaporkan mendapat tawaran pengambilalihan bernilai beratus juta dollar daripada Google dan Facebook, malah pengaruhnya sebagai komunikasi dan pencarian berita terkini telah digunakan dengan pelbagai cara sejak beberapa tahun lalu.

Pada Jun lalu, Jabatan Negara AS meminta Twitter untuk menangguhkan penyelenggaraan berjadualnya kerana ia digunakan oleh penunjuk perasaan Iran yang kecewa dengan keputusan pilihan raya Presiden.

Terbaru, Google dan Microsoft mula mengintegrasikan mesej Twitter dalam enjin cariannya, ciri baru yang dikatakan sebagai carian masa sebenar.

Menurut pengasas bersama dan ketua eksekutif syarikat ImageShack, Jack Levin, penggunaan Twitter dalam telefon bimbit canggih juga menyumbang kepada perkembangannya. - AFP

No comments: