Pages

Friday, December 18, 2009

Luar Negara: Filem 2012 catat kutipan tiket paling laris di China

BEIJING 17 Dis. - Peminat filem di China berpusu-pusu menonton filem bencana 2012 yang berbajet besar Hollywood, yang memaparkan aksi republik tersebut menyelamatkan sebahagian manusia daripada malapetaka yang dahsyat itu.

Diarahkan oleh Roland Emmerich yang terkenal dengan filem aksi meganya seperti Independence Day dan The Day After Tomorrow, filem tersebut berjaya mengutip lebih 451 juta yuan (RM227 juta) sejak ditayangkan pertengahan bulan lalu.

Jumlah itu meletakkan 2012 di tangga teratas senarai filem box office China tahun ini, menewaskan filem Transformers 2 yang mengutip jualan tiket sebanyak 450 juta yuan (RM226.5 juta) dan filem patriotik China, Founding of a Republic dengan kutipan sejumlah 416 juta yuan (RM209.4 juta), menurut pegawai industri.

Filem itu yang mengisahkan tentang bencana yang menimpa bumi pada 21 Disember 2012, menyaksikan China membina sebuah bahtera gergasi seperti bahtera Nabi Noh di kawasan pergunungan Tibet bagi menyelamatkan sebilangan manusia.

Ia yang difilem berdasarkan tilikan kaum Maya di mana dunia akan berakhir pada tahun 2012, disimpulkan kebanyakan penonton dalam tiga perkataan ringkas - 'China Menyelamatkan Dunia'.

Sesetengah pihak berpendapat, tema China sebagai penyelamat telah menjana jualan tiket di kalangan masyarakat awam yang luas serta, amat membanggakan seiring pengaruh diplomatik China di peringkat global dan ekonomi negara itu yang semakin meningkat dalam dunia sebenar.

"Sudah tentu, 'faktor China' memainkan peranan penting dalam kejayaan filem itu,'' kata Li Chow, Pengurus Besar Penerbitan Antarabangsa Sony Pictures di China.

"Faktor China ini dapat meresap ke dalam hati rakyat negara ini dengan mudah,'' jelas Li Yu dari Pusat Kajian Perfileman China.

2012 memaparkan permulaan stereotaip dengan kemunculan individu genius jahat pada awal kurun ke-20, Fu Manchu - yang mula ditampilkan dalam siri novel Britain namun kemudian digunakan begitu banyak bagi menggambarkan karakter jahat filem.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, China digambarkan sebagai negara yang buruk akhlak - seperti dalam filem Red Corner yang dibintangi aktor Richard Gere sebagai peguam Amerika yang melakukan pembunuhan - atau menindas seperti dalam Kundun, filem pro Tibet yang mengisahkan tentang kehidupan Dalai Lama.

Bagaimanapun 2012 menggambarkan sisi baik China apabila sebuah bahtera besar dibina sebagai simbol kuasa negara itu yang semakin bertambah dalam sektor pembuatan. - AFP

No comments: