Pages

Tuesday, December 1, 2009

Umum: 10,000 petugas mula bersih Tanah Haram

MINA - Lebih 10,000 pekerja yang dibekalkan 46,000 tong sampah memulakan tugas membersihkan Tanah Haram setelah musim haji tahun ini tamat secara rasmi semalam.

Pengarah Pembersihan Majlis Bandar Raya Mekah, Saleh Abdul Samad Izzat berkata, kerja-kerja pembersihan itu turut dipantau menerusi 25 pusat di sini termasuk sekumpulan pencinta alam.

Saleh berkata kontrak pembersihan baru berjumlah SR795 juta (RM729 juta) itu akan dilaksanakan sebaik musim haji tamat.

Penolong Ketua Perkhidmatan Kejuruteraan, Abdul Salam Suleiman Mashat berkata, jabatannya menyediakan 68 buah kompaktor, 246 trak, 58 jentolak dan 230 unit lain-lain jenis peralatan pembersihan.

Katanya, seramai 6,000 petugas pembersihan memungut lebih 80,000 tan sampah dari Tanah Haram kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Kedua, Putera Naif berkata, musim haji tahun ini ditutup dengan jayanya.

"Kami berharap para jemaah mendapat haji yang mabrur dan selamat kembali ke tanah air masing-masing," katanya.

Terdahulu, Gabenor Mekah, Putera Khaled Al-Faisal berkata, terdapat 1.6 juta jemaah asing dan 2.52 juta jemaah menunaikan ibadah melontar manakala jemaah yang datang secara haram mencecah 753,000 orang.

"Perjalanan haji akan lebih lancar jika jumlah jemaah tanpa permit dapat dikurangkan," katanya.

No comments: