Pages

Saturday, December 19, 2009

Luar Negara:Cebisan bangunan Cleopatra dikeluarkan

ISKANDARIAH 18 Dis. - Pakar arkeologi semalam mengeluarkan satu struktur kuil purba seberat sembilan tan daripada perairan laut Mediterranean, yang merupakan sebahagian binaan kompleks istana legenda Cleopatra sebelum ia tenggelam selama berkurun-kurun di pelabuhan Iskandariah.

Struktur itu yang merupakan sebahagian daripada pintu masuk ke kuil Isis, bakal dijadikan hiasan tengah untuk sebuah muzium istimewa bawah laut yang akan dibina Mesir bagi mempamerkan kota yang telah tenggelam itu, dipercayai runtuh ke laut oleh gegaran gempa bumi pada kurun keempat.

Para penyelam dan pakar arkeologi laut menggunakan sebuah kren pengangkut gergasi dan tali untuk mengangkat binaan seberat sembilan tan dan setinggi 2.3 meter yang dipenuhi kotoran dan rumpai laut itu daripada air. Ia diletakkan di darat sambil diperhatikan pakar arkeologi terkemuka Mesir, Zahi Hawass dan pegawai-pegawai lain.

Struktur tersebut merupakan sebahagian istana semasa Dinasti Ptolemaic memerintah Mesir dan ketika Ratu Cleopatra memikat Jeneral Romania, Marc Antony, sebelum kedua-duanya membunuh diri selepas tewas di tangan Augustus Caesar.

Kuil itu yang ditujukan khas kepada Isis, dewi kesuburan dan ajaib, dijangka berusia sekurang-kurangnya 2,050 tahun, namun pakar arkeologi percaya, usianya lebih daripada itu.

Struktur yang ditemui itu dipotong daripada seketul batu granit merah tebal yang diperolehi daripada kuari Aswan, kira-kira 1,100 kilometer di selatan.

"Pendewaan terhadap Isis begitu kuat, tidak hairanlah Cleopatra memilih untuk membina tempat tinggalnya bersebelahan kuil tersebut,'' kata pakar arkeologi geografi, Jean-Daniel Stanley dari Muzium Kebangsaan Smithsonian dan Sejarah Semula Jadi.

Pihak berkuasa Mesir berharap, struktur binaan itu akan menjadi sebahagian bahan pameran di muzium bawah laut, sebagai satu tarikan istimewa bagi mendorong kedatangan pengunjung ke bahagian pantai utara negara itu yang sering dibayangi kuil purba Luxor di selatan, piramid Giza di luar Kaherah dan pantai Laut Merah. - AP

No comments: