Pages

Friday, December 18, 2009

Luar Negara: 50 jarum dalam badan angkara sihir

RIO DE JANEIRO 17 Dis. - Seorang budak berusia dua tahun yang menderita kerana terdapat 50 jarum di dalam badannya rupa-rupanya adalah mangsa ritual 'sihir' yang dilakukan bapa tirinya.

Ketua polis yang menjalankan siasatan, Helder Fernandes Santana berkata, bapa tiri budak lelaki itu, Roberto Carlos Magalhaes, menangis dan mengaku melakukan perkara mengejutkan itu selepas ditahan awal semalam.

"Dia melakukannya kerana membalas dendam untuk mendapatkan kembali isterinya. Perempuan simpanan lelaki itu memintanya membunuh kanak-kanak itu melalui satu upacara mengerikan," jelas Santana dalam wawancara melalui telefon dari bandar Ibotirama, Bahia di timur laut Brazil.

Budak itu yang tidak boleh didedahkan namanya kerana usianya yang muda, kini masih dirawat di unit rawatan rapi di sebuah hospital di bandar Barreiras, selepas dimasukkan hujung minggu lalu apabila dia muntah-muntah dan mengadu sakit perut.

Imbasan sinar-X menunjukkan kira-kira 50 jarum jahit berada di dalam badannya termasuk tengkuk, badan dan kaki.

Pasukan doktor yang merawat budak lelaki itu berkata, mereka tahu jarum-jarum itu bukan ditelan tetapi dicucuk dengan sengaja satu demi satu.

"Dia masih sedar tetapi berada dalam keadaan serius. Satu jarum menembusi paru-paru dan dia menjadi lemah sekarang ini. Kami telah mengeringkan kawasan itu dan memberikannya drip," kata jurucakap hospital, Kelly Bessa kepada pemberita.

Tambahnya, doktor sedang memutuskan sama ada selamat atau tidak untuk membedahnya bagi 'mengeluarkan jarum di organ-organ penting - namun ia mungkin lebih bahaya daripada meninggalkannya begitu saja'.

Ibu budak lelaki itu, Maria Souza Santos, 38, memberitahu akhbar A Tarde de Salvador de Bahia yang anaknya mungkin menjadi mangsa sihir.

Katanya, dia menemui sebotol cachaca, arak Brazil yang dibuat dari tebu dan objek yang digunakan untuk upacara sihir di rumah yang diduduki dengan enam anaknya, ibunya dan suaminya selama enam bulan.

Souza Santos bekerja sebagai pembantu rumah sementara Magalhaes adalah nelayan dan buruh kasar. - AFP

No comments: