Pages

Sunday, December 6, 2009

Umum: Siti Hasnah Hindu atau Islam

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

BUTTERWORTH 5 Dis. - Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) menolak dakwaan pihak tertentu berhubung isu seorang wanita berketurunan India, Siti Hasnah Vangarama Abdullah atau S. Banggarma, 27, yang dikatakan memeluk Islam tanpa kerelaan ketika masih kanak-kanak.

Sebaliknya, Yang Dipertuanya, Shabudin Yahaya menegaskan, wanita terbabit telah menjadi seorang Islam apabila ibu bapanya memeluk Islam di Pejabat Agama Islam Daerah Rompin, Pahang pada 30 November 1983.

Pada masa yang sama, ibu bapanya turut membuat perakuan bahawa lima anaknya masing-masing tiga lelaki dan dua perempuan termasuk Siti Hasnah yang ketika itu berumur tujuh tahun turut sama memeluk Islam.

Menurutnya, hasil siasatan pihaknya mendapati, selepas memeluk Islam, bapanya telah menggunakan nama Mohd. Yusof Abdullah dan ibunya pula dikenali dengan nama Siti Aisyah Abdullah.

"Dengan bukti yang kita peroleh ini, jelas menunjukkan Siti Hasnah sudah pun memeluk Islam pada tahun 1983 dan bukan seperti didakwa oleh seorang peguam yang kononnya wanita itu dipaksa masuk Islam oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 1989 ketika dia dimasukkan ke Rumah Kanak-Kanak Taman Bakti, Kepala Batas.

"Surat yang kononnya mengesahkan perkara itu seperti ditunjukkan oleh peguamnya pada sidang akhbar baru-baru ini juga adalah tidak benar dan meragukan, malah mengikut siasatan kami, Siti Hasnah dan tiga adik-beradiknya hanya masuk ke rumah jagaan kanak-kanak itu pada 5 Mac 1990.

"Jadi, bagaimana peguamnya mendakwa JKM terbabit dengan isu itu yang dikatakan berlaku pada tahun 1989 sedangkan pada tahun itu, dia belum lagi dimasukkan ke rumah kebajikan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas bagi memberi penjelasan berhubung kedudukan pengislamam Siti Hasnah yang dibangkitkan peguamnya, Gooi Hsiao Leong seperti dilaporkan media pada 19 November lalu.

Hsiao Leong yang merupakan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah mendakwa Siti Hasnah diislamkan oleh JKM ketika berumur tujuh tahun apabila Sijil Akuan Masuk Islam dikeluarkan pada 28 Disember 1989 dan mempertikaikan bagaimana kanak-kanak boleh menandatangani sijil berkenaan.

Pada sidang akhbar itu, Siti Hasnah yang mempunyai dua anak juga mendakwa dia terkejut ketika diberitahu bahawa dia adalah seorang Islam semasa ingin mendaftarkan perkahwinannya bersama seorang lelaki beragama Hindu.

No comments: