Pages

Thursday, December 17, 2009

LuarNegara: Anak Marcos mahu jadi Presiden Filipina

MANILA 16 Dis. - Anak lelaki kepada bekas Presiden Filipina, mendiang Ferdinand Marcos hari ini mengumumkan beliau bercita-cita untuk menjadi Presiden negara ini dan mendakwa keluarganya tidak ada apa- apa yang patut dimalukan.

Ferdinand Marcos Jr., 52, (gambar) berkata, beliau tidak pernah menganggap namanya sebagai sumpahan tetapi sebaliknya sebagai 'satu kelebihan amat besar' yang akan melonjakkan beliau ke pentas politik negara.

"Saya ingin memajukan kerjaya politik yang saya lancarkan ini seberapa jauh yang boleh. Matlamat tertinggi adalah untuk menjadi Presiden," kata Marcos Jr. dalam satu forum bersama wartawan asing dengan suara yang dalam seperti suara bapanya.

Marcos Jr. menjadi anggota Dewan Perwakilan yang mewakili kubu kuat keluarganya di wilayah Ilocos Norte sejak 2007 dan akan bertanding untuk kerusi Senat atas tiket pembangkang dalam pilihan raya umum tahun depan.

Ibunya yang juga bekas Wanita Pertama, Imelda Marcos serta saudara perempuannya, Imee juga dijadual bertanding merebut kerusi pada tahun depan dalam usaha untuk meneruskan dominasi keluarga mereka di Ilocos Norte.

Marcos Sr. menjadi Presiden Filipina dari 1966 hingga 1986, sebahagian besar tempoh itu sebagai diktator yang bertanggungjawab terhadap pencabulan hak asasi manusia yang meluas dan kehilangan beribu-ribu aktivis pembangkang.

Keluarga Marcos dipercayai telah menggelapkan wang negara sehingga AS$10 bilion (RM34 bilion) semasa pemerintahan mendiang, menjerumuskan negara yang dahulunya makmur ini ke dalam kancah kemiskinan sehingga sekarang.

Pemberontakan 'kuasa rakyat' pada 1986 menjatuhkan Marcos Sr, memaksa keluarganya hidup dalam buangan di Hawaii di mana diktator itu meninggal dunia tiga tahun kemudian.

Imelda Marcos dan anak-anaknya kemudian dibenarkan pulang tetapi tiada seorang pun daripada mereka disabitkan dengan sebarang kesalahan.

Marcos Jr. berkata, keluarganya tidak pernah melakukan kesalahan dan warisan bapanya akan dibersihkan oleh ahli sejarah suatu hari nanti.

"Nama yang baik ialah satu-satunya perkara yang saya warisi daripada ibu bapa saya. Segala yang lain sudah dirampas," katanya. - AFP

No comments: