Pages

Saturday, December 19, 2009

Luar Negara: Khieu Samphan didakwa lagi

PHNOM PENH 18 Dis. - Mahkamah jenayah perang Kemboja hari ini mendakwa bekas pemimpin Khmer Rouge, Khieu Samphan atas tuduhan melakukan penghapusan kaum terhadap orang-orang Vietnam dan etnik Cham yang beragama Islam.

Samphan, 78, sebelum ini telah didakwa atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan atas peranannya ketika rejim komunis yang membunuh dua juta rakyat Kemboja dalam pemerintahan selama empat tahun.

"Hari ini Samphan dihadapkan ke mahkamah dan dimaklumkan mengenai pendakwaan ke atasnya telah ditambah termasuk pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik Cham dan Vietnam," kata jurucakap mahkamah, Lars Olsen kepada pemberita.

Tribunal dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengenakan dakwaan penghapusan kaum buat kali pertama minggu ini, ke atas dua orang bekas pemimpin lain rejim ganas itu iaitu bekas orang nombor dua Khmer Rouge, Nuon Chea dan Menteri Luar, Ieng Sary.

Bulan lalu, mahkamah mengumumkan yang ia akan menyiasat pencerobohan ke atas Vietnam serta pembunuhan kaum minoriti Cham dari 1975 hingga 1979.

Hakim siasatan mahkamah itu juga telah menerima dakwaan domestik jenayah, penyeksaan dan pencabulan agama ke atas Samphan.

Anggaran jumlah etnik Cham yang mati ditangan Khmer Rouge adalah antara 100,000 hingga 400,000 orang namun jumlah orang Vietnam yang dibunuh tidak dapat dipastikan, demikian menurut pengarah Pusat Dokumentasi Kemboja, Youk Chhang. - AFP

No comments: