Pages

Monday, December 21, 2009

Agama:Bertandang rumah adik-beradik bukan Islam

Dr Abdul Salam Muhammad Shukri

BOLEHKAH seorang Muslim bertandang ke rumah adik-beradiknya yang bukan Islam atas alasan ingin melawat dan menziarah, malah makan makanan yang dihidangkan dan menumpang tidur di rumah mereka?

Adakah batas tertentu jika seorang Muslim bertandang ke rumah bukan Islam?

AIDA

Kuala Lumpur

ISLAM membenarkan seorang Muslim bertandang ke rumah keluarga bukan Islam sama ada lawatan biasa atau hal tertentu. Begitu juga memakan makanan yang dihidangkan asalkan ia halal dan baik dan menumpang tidur di rumah mereka.

Dalam hal ini Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman serta mereka membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim." (al-Quran, al-Mumtahanah ayat 8-9).

Bagi menjaga maruah dan identiti seorang Muslim, batas berikut hendaklah diambil perhatian, antaranya

(1) Menjaga aurat antara Islam dan bukan Islam. Aurat Muslimah dengan bukan Islam sama dengan aurat lelaki bukan mahram.

(2) Hanya makan makanan halal dan baik.

(3) Tidak melakukan upacara keagamaan bukan Islam dan tidak menyertai perayaan mereka.

4) Mengelak daripada mengunjungi mereka jika memusuhi Islam. Ini kerana dikhuatiri kita mengkhianati umat Islam dengan menyampaikan rahsia orang Islam kepada musuh Islam.

No comments: