Pages

Thursday, October 29, 2009

Agama: Poligami tuntut adil

FIKRAH DR.SALAM
Penolong Profesor Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abdul Salam Muhammad
Shukri

SOALAN
BAPA berkahwin lagi dengan wanita lain tanpa pengetahuan ibu. Saya tidak
membocorkan rahsia itu kerana tidak mahu ibu kecewa. Apakah tindakan saya
itu betul dan jika tidak, apa yang sepatutnya saya lakukan?

AZ,
Kuala Lumpur

JAWAPAN
APA yang boleh anda lakukan adalah menasihati bapa supaya bertanggungjawab
terhadap apa yang dilakukannya.

Anda boleh menasihati bapa supaya memberitahu ibu anda mengenai keadaan
sebenar. Ini lebih baik kerana lambat-laun ibu anda akan dapat mengesannya
juga.

Selain itu, kita perlu tahu, Islam membenarkan seorang lelaki berkahwin
lebih daripada satu, sehingga empat isteri dengan syarat dia boleh berlaku
adil kepada semua isterinya.

Antara sebab peruntukan itu adalah berlaku banyak peperangan dan ramai
perempuan menjadi yatim dan janda.

Demi mengelak berlaku penganiayaan terhadap mereka, Islam membenarkan
lelaki berkahwin lebih daripada satu.

Kita juga perlu tahu mengenai Akta Undang-Undang Keluarga Islam yang
diperuntukkan jika seorang lelaki ingin berpoligami, dia mesti memohon
kebenaran di Mahkamah Syariah.

Pihak mahkamah akan memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isteri sedia
ada supaya hadir.

Mahkamah kemudian boleh memberi kebenaran jika berpuas hati yang
perkahwinan itu patut dan perlu, pemohon berkemampuan dan berupaya memberi
layanan sama rata kepada semua isteri dan perkahwinan itu tidak
mendatangkan mudarat dari sudut syariat kepada isteri sedia ada.

Semua ini dibuat demi menjaga keadilan sosial. Kegagalan mematuhi
peruntukan poligami adalah kesalahan di Malaysia.

myMetro

No comments: