Pages

Monday, October 26, 2009

Agama: Musykil pakaian renang Muslimah

FIKRAH DR.SALAM
Penolong Profesor Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Abdul Salam Muhammad
Shukri

SAYA terbaca satu ruangan dalam akhbar mengenai Zahra Masoumah Abdul Halim
yang akan berenang merentasi Selat Inggeris dengan berpakaian renang cara
Islam.
Saya difahamkan aurat perempuan Muslimah ialah seluruh badan kecuali muka
dan telapak tangan, malah tidak menampakkan susuk badan. Jadi, adakah ini
dikira menutup aurat?

MAS,
Kuala Lumpur.

ISLAM adalah agama yang menitikberatkan keselamatan diri dan kesopanan.
Dalam memilih cara berpakaian, Islam menghendaki wanita dan lelaki menutup
aurat. Aurat lelaki antara pusat ke lutut. Bagi wanita, ada beberapa
perkara berkaitan aurat yang perlu diteliti.
Pertama, apabila berada di depan lelaki asing dan di hadapan wanita bukan
Islam, aurat wanita seluruh badan kecuali muka dan dua tangan.
Keduanya, apabila di depan lelaki mahramnya dan sesama Muslimah, batasan
lebih luas dengan diberi kebenaran untuk terlihat rambut, leher, tangan
dan kaki. Islam tidak mahu tubuh wanita dieksploitasikan bagi tujuan
komersial dan nafsu seks.
Memang tidak dinafikan terdapat pereka pakaian cuba memperkenalkan pakaian
mandi serta pakaian sukan untuk wanita yang menepati kehendak syariah.
Tujuannya supaya wanita Islam dapat meneruskan aktiviti sukan dengan tidak
melanggar kehendak syariah.
Mengenai Zahra Masoumah Abdul Halim yang mengenakan pakaian renang yang
menutup aurat dan bertudung dalam usaha merentas Selat Inggeris, ia
sepatutnya dialu-alukan walaupun ada kekurangan seperti yang anda katakan.
Apa yang penting semangatnya untuk membuktikan pakaian secara sedemikian
tidak menghalang untuk terus berjaya. Semangat dan hasrat beliau yang
patut dicontohi.

myMetro

No comments: