Pages

Saturday, October 31, 2009

Pemotoran: Enjin gegar ketika memecut

SAYA menggunakan motosikal Honda EX5 dan mengalami masalah enjin bergegar kuat ketika memecut antara kelajuan 80 hingga 100km/j. Kenapa perkara ini berlaku?

Putera Kapchai,Selangor.

LAZIMNYA, masalah itu berlaku akibat tahap melahu (idle) enjin terlalu tinggi selain percikan api pada palam pencucuh lambat dan tidak menepati tahap diperlukan. Ini menyebabkan operasi enjin tidak lancar.

Masalah hilang apabila pendikit dilepaskan sedikit bagi mengurangkan bebanan terhadap enjin. Saya menasihati supaya membuat penyelarasan semula bagi memastikan enjin berada dalam keadaan optimum.

Gegaran enjin lazimnya menjadi lebih ketara apabila kita melebihi sesuatu tahap rpm yang dihadkan pengeluar.

Masalah gegaran enjin pula membayangkan tahap kehausan komponen enjin yang melebihi tahap kelegaan dibenarkan dan mungkin enjin memerlukan baik pulih.

Ini kerana enjin haus dan bergetar apabila beroperasi dan menyebabkan gegaran. Punca gegaran enjin ini boleh datang daripada kehausan pelbagai bahagian enjin, sama ada daripada piston, gegalas utama dan mungkin klac.

Sekiranya gegaran disebabkan roda, ia boleh diatasi dengan melakukan imbangan tayar untuk memastikan masalah sebenar, sama ada ia dari tayar atau rim tayar bengkok.


No comments: