Pages

Thursday, January 14, 2010

Info: Sistem proses air ISS rosak

CAPE CANAVERAL, Florida 13 Jan. - Kerosakan yang dialami di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) bukan sahaja disebabkan oleh gangguan mekanikal, tetapi turut berpunca daripada sistem pemprosesan semula air bernilai AS$250 juta (RM900 juta), yang tersumbat.

Masalah itu telah dikenal pasti oleh jurutera Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang mendapati, sistem itu tersumbat akibat kepekatan kalsium tinggi yang terdapat dalam air kencing angkasawan sehingga menyebabkan operasi stesen itu mengalami gangguan.

Para saintis, bagaimanapun masih belum mengenal pasti sama ada kepekatan kalsium tinggi adalah disebabkan kerapuhan tulang, kesan akibat tinggal di persekitaran graviti-sifar atau faktor lain.

"Kami mempelajari lebih banyak mengenai air kencing daripada apa yang kami mahu dan perlu tahu - ia terutamanya di kalangan kami," kata pengarah stesen penerbangan itu, David Korth.

Projek stesen angkasa lepas bernilai AS$100 bilion (RM360 bilion) melibatkan 16 buah negara itu telah menjalani pembinaan pada jarak 350 kilometer dari bumi untuk tempoh lebih sedekad.

Sebelum alat pemprosesan air kencing itu dimulakan pada November 2008, ia telah menjalani pemeriksaan sepenuhnya oleh NASA.

"Orang terdahulu mempunyai pengetahuan yang baik mengenai kandungan yang terdapat dalam air kencing, namun perubahan kimia yang berlaku melalui alat pemprosesan itu sering kali tidak difahami," kata saintis program, Julie Robinson.

"Terdapat banyak parameter termasuk kalsium air kencing dan tahap pH kandungan asid yang dilihat oleh semua orang," katanya.

Para jurutera di Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Marshall di Hunsville, Alabama berharap untuk membaik pulih semula masalah itu dengan segera bagi menerbangkan alat gantian menggunakan sebuah lagi kapal angkasa yang dijadual dilancarkan pada 7 Februari ini dalam satu misi pembinaan. - Reuters

No comments: