Pages

Sunday, March 21, 2010

Agama: Harus jual beli semasa waktu solat Jumaat

Dari utusan Malaysia 19.03.10

Soalan 1:

APAKAH hukum perempuan berjual beli semasa waktu solat Jumaat?

Jawapan:

Harus wanita berjual beli semasa waktu solat Jumaat. Tetapi sekiranya wanita tersebut berjual beli dengan lelaki Islam, ia dikira syubhah.

Perkara tersebut boleh menggalakkan lelaki itu meringan-ringankan solat Jumaat, terleka dengan kesibukan perniagaannya atau kerana pendapatan yang lumayan pada waktu tersebut.

Peniaga lelaki boleh sahaja mengupah seorang wanita lain menguruskan perniagaan tersebut pada waktu berkenaan atau sebagainya.

Soalan 2

Apakah hukum perempuan yang haid mengunjungi masjid dan pusara?

Jawapan:

Harus bagi perempuan dalam keadaan haid mengunjungi pusara. Ini kerana pusara bukanlah masjid. Perempuan yang dalam haid dilarang masuk ke dalam masjid.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali ke 49 pada 19 September 2000 memutuskan bahawa: "Perempuan yang dalam keadaan haid haram berada atau duduk di dalam masjid walaupun untuk tujuan pembelajaran dan program-program keagamaan".

Soalan 3

Adakah anak-anak tiri masih perlu bertanggungjawab terhadap nafkah ibu tiri, sekiranya bapa telah meninggal, sedangkan ibu tiri telah keluar dari rumah sebelum habis idah dan ibu tiri tersebut tidak mempunyai zuriat.

Jawapan:

Anak tiri tidak bertanggungjawab terhadap ibu tiri mereka selepas idah 4 bulan 10 hari (kerana kematian suami). Tetapi Islam menentukan supaya menjaga hati dan perasaan ibu tiri tersebut dengan melakukan ihsan kepadanya seperti menjaga kebajikannya dari aspek kesihatan, makan minum dan tempat tinggal sekiranya berkemampuan.

Justeru anak-anak tiri hendaklah menunjukkan sikap berkasih sayang seperti memberi hadiah, sentiasa menziarahi sebagai penghargaan kepadanya kerana pernah menjadi isteri bapa dan sebagai mahram kekal anak tiri dan ibu tiri.

Soalan 4:

Adakah sah pernikahan pengantin perempuan yang sedang mengandung empat bulan?

Jawapan:

Sah pernikahan bagi perempuan sedang mengandung empat bulan tetapi anak yang dikandungnya adalah tidak sah taraf.

Ini bertepatan dengan keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke 3 pada 21-22 Januari 1971 memutuskan bahawa: "Perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu, tidak dapat pusaka daripadanya, tidak menjadi mahram kepadanya dan lelaki itu tidak boleh menjadi walinya".

Soalan 5:

Dalam berpoligami, bolehkah kedua-dua isteri tinggal dalam satu rumah yang sama?

Jawapan:

Harus bagi yang berpoligami tinggal sebumbung tetapi tidak berkongsi bilik tidur. Sebaik-baiknya tinggallah secara berasingan demi menjaga keharmonian rumahtangga.

Dalam perkara ini, perlu difahami bahawa antara kemampuan suami berpoligami termasuklah kemampuan menyediakan tempat kediaman.

Soalan 6:

Bolehkah suami menuntut fasakh? Jelaskan berdasarkan hukum syarak dan undang-undang.

Jawapan:

Peruntukan undang-undang seperti seksyen 52 Bahagian v, Pembubaran Perkahwinan, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 membolehkan tuntutan fasakh dilakukan atas beberapa alasan.

Suami juga boleh menuntut fasakh atas alasan isteri gila, murtad atau terdapat kecacatan (aib) yang tidak diketahui oleh suami semasa berkahwin.

Soalan 7:

Apakah itu majlis Sulh? Bolehkah ia memberikan saya hak untuk bersuara bagi mempertahankan hak saya.

Jawapan:

Majlis Sulh adalah merupakan salah satu prosedur untuk menyelesaikan masalah antara pasangan suami isteri sebelum masalah tersebut dibawa ke peringkat yang lebih tinggi dalam Mahkamah Syariah.

No comments: