Pages

Friday, February 26, 2010

Perdana Menteri ke-6



Biodata Dato' Seri Najib PM ke-6

Sebagai putera kepada Perdana Menteri Malaysia Ke-2, Allahyarham Tun Abd Razak, Najib dilahirkan di tengah-tengah gelanggang politik.

pemergian bapanya pada ketika yang tidak dijangka, 14 Januari 1976, ketika menjejaki usia 54 tahun, telah menyorongkan Najib ke hadapan sehingga menjadi tumpuan utama. Lima minggu selepas pemergian bapanya, pada usia 22 tahun, Najib telah terpilih untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen Pekan, menjadikan beliau Ahli Parlimen yang paling muda dalam sejarah Malaysia.

Pada 2004, beliau telah menyandang jawatan kedua tertinggi dalam negara sebagai Timbalan Perdana Menteri, 47 tahun setelah bapanya dilantik ke jawatan yang sama.

Dato' Sri Mohd Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala Lipis, Pahang. Beliau telah mendapat pendidikan di St. John’s Institution, Kuala Lumpur dan Malvern Boy’s College, Worcestershire, England sebelum menamatkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang Ekonomi Perindustrian daripada Nottingham University. Sekembalinya ke Malaysia pada 1974, beliau telah menyertai dunia korporat bila berkhidmat untuk satu waktu yang singkat dengan Bank Negara, kemudiannya beralih ke PETRONAS (perbadanan petroleum negara) sebagai Pengurus Hal Ehwal Awam.

Pada tahun pertamanya sebagai Ahli Parlimen, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga Telekomunikasi dan Pos, dan kemudiannya menjawat jawatan Timbalan Menteri Pelajaran dan selepas itu Timbalan Menteri Kewangan.

Pada 1982, Perdana Menteri yang baru, Dr. Mahathir Mohamad telah mencalonkan Dato’ Sri Mohd Najib untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Pekan. Berikutan dengan kejayaannya, Najib yang berusia 29 tahun ketika itu dilantik menjadi Menteri Besar Pahang, negeri terbesar di Semenanjung Malaysia. Pahang pada ketika itu hampir-hampir terjebak dalam satu krisis politik disebabkan oleh perbezaan yang serius antara bekas Menteri Besar dan Sultan Pahang.


Dato Sri Mohd Najib mula menyandang jawatan Timbalan Ketua Pemuda UMNO pada 1982, dan naik sebagai ketua pergerakan tersebut pada 1987. Pada 1988, setelah satu pergolakan menguasai parti, satu UMNO baru yang telah disusun semula diwujudkan dan Najib telah dilantik sebagai Ketua Pemuda, jawatan yang disandang beliau sehingga 1993.

Dalam pilihan raya 1986, Najib dikembalikan sebagai Ahli Parlimen kawasan Pekan, dan dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Pada 1991, Dato’ Sri Najib telah dilantik sebagai Menteri Pertahanan.

Pada 1995, Dato’ Sri Najib mengalami perubahan dalam portfolio kabinet, yang mana beliau telah dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Beliau telah mengambil cabaran untuk menyambut aspirasi Malaysia yang baru sahaja diumumkan ketika itu, untuk menjadi sebuah negara maju yang sepenuhnya pada tahun 2020.

Apabila beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2004, Dato’ Sri Najib telah diserahkan dengan portfolio tanggungjawab yang banyak dan besar, termasuk mengawasi FELDA, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dato’ Sri Najib telah berkahwin dengan YABhg. Datin Sri Rosmah Mansor, dan bapa kepada lima orang anak.Pada 3hb April 2009, Dato; Sri Mohd Najib Tun Razak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, dalam satu proses peralihan kuasa oleh YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi.

No comments: